Sabtu, 2 Januari 2016

Tips Penjagaan Kanak-kanak Penghidap Asma


Adakah anak anda menghidapi lelah atau asma ?
Jika jawapan anda adalah ‘ya’, artikel ringkas  ini  mungkin dapat membantu usaha anda dalam mengurangkan serangan lelah  (acute asthmatic attacks)  anak anak anda serta meningkatkan tahap kesihatan mereka.
Pemantauan berterusan
Adakah anak anda sering diberikan ubat untuk melegakan batuk dan pernafasan laju, samada dalam bentuk ‘nebulizer’ atau sirap? Kemungkinan besar doktor juga telah memulakan ubat ‘pencegahan’. Adalah penting untuk diketahui bahawa kanak-kanak yang telah disahkan menghidapi asma perlu mendapat pemantauan berterusan daripada doktor. Bukan hanya dibawa berjumpa doktor apabila sedang ‘semput’. Ini kerana simptom simptom asma perlu dipantau untuk memastikan ia dikawal dengan baik dan sekiranya tidak, rawatan seterusnya dapat diberikan. Walaupun lazimnya asma dalam kanak – kanak akan semakin ‘pulih’ dengan peningkatan usia, dikhuatiri asma yang tidak dikawal dengan baik boleh menyebabkan kerosakan pada paru paru serta meningkatkan risiko untuk mendapat serangan asma yang serius. Serangan asma yang serius boleh membahayakan nyawa.
Penggunaan ubat yang betul dengan cara yang betul
Rawatan bagi asma lazimnya terbahagi kepada ubat ‘pelega’ yang digunakan apabila perlu dan ubat ‘pencegah’ yang perlu digunakan setiap hari. Ada sesetengah kanak-kanak yang hanya memerlukan ubat ‘pelega’ tetapi ada juga yang memerlukan ubat ‘pencegah’. Ini bergantung kepada evaluasi klinikal yang dibuat oleh doktor yang merawat. Apa yang penting adalah untuk memastikan ubat diberikan seperti yang disyorkan dan juga dengan cara yang betul. Sebagai contoh, kanak – kanak berusia 8 tahun ke bawah selalunya memerlukan ‘corong’ untuk menggunakan ubat asma yang berbentuk ‘metered dose inhaler’ atau MDI bagi memastikan mereka menerima ubat secara optimum.
‘Corong’ tersebut  perlu dijaga dengan baik serta mengikut tatacara yang dinasihatkan untuk memastikan ia berfungsi dengan baik. Tanpa teknik penggunaan ubat yang betul, rawatan asma tidak akan berjaya walaupun diberikan pada kekerapan yang yang dinasihatkan. Ibu bapa juga dinasihatkan tidak memberhentikan sendiri  ubat apabila anak kelihatan ‘sihat’ sehingga dinasihatkan oleh doktor. Berbincanglah secara terbuka dengan doktor yang merawat sekiranya anda mempunyai sebarang persoalan tentang rawatan yang diberikan.
Penjagaan keaadan sekeliling
Sesetengah penghidap asma  sangat sensitif dengan keadaan sekeliling mereka. Antara perkara- perkara yang boleh menyebabkan serangan asma termasuk asap rokok, habuk, cat serta bulu-bulu binatang peliharaan seperti anjing, kuching dan lain lain. Mengambil langkah langkah untuk mengelakkan atau mengurangkan pendedahan mereka kepada faktor faktor tersebut adalah penting untuk mengelakkan serangan asma.
Meningkatkan aktiviti fizikal
Ramai di antara kita yang menyangka mereka yang menghidap asma tidak boleh aktif seperti kanak- kanak lain. Akibatnya, aktiviti fizikal anak – anak ini dihadkan seperti tidak membenarkan mereka mengikuti kelas pendidikan jasmani di sekolah. Ini adalah satu fahaman yang tidak tepat.
Objektif rawatan adalah untuk memastikan kanak kanak tersebut dapat bermain dan aktif seperti biasa. Ibu bapa digalakkan berbincang dengan doktor tentang aspek ini kerana terdapat langkah langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan serangan asma akibat aktiviti fizikal yang berlebihan.
Diari Asma
Ibu bapa disyorkan menyimpan ‘diari asma’ yang digunakan untuk mencatit simptom simptom lelah seperti yang diterangkan oleh doktor yang merawat. Diari asma dapat membantu doktor menilai tahap kawalan asma setelah sesuatu pelan rawatan dimulakan. Bawalah diairi ini setiap kali temujanji  anda dengan doktor.
Pelan tindakan asthma  – ‘Asthma action plan ‘
Pelan tindakan ini dapat memberi panduan kepada ibu bapa menegenai apa yang perlu dilakukan sekiranya anak tidak sihat. Tujuan pelan tindakan ini adalah untuk mengelakkan kelewatan memberi rawatan apabila anak mendapat serangan asma. Ini kerana rawatan awal yang bermula sebelum anak anak sampai ke klinik atau hospital boleh menyelamatkan nyawa.

Dr Alya Hamzah ialah seorang pegawai perubatan pediatrik kini bertugas di Sabah dan sedang dalam persediaan untuk peperiksaan pasca-ijazah akhir beliau dalam bidang pediatrik. Beliau menegaskan bahawa perjalanan ke arah kesihatan yang baik adalah perlu diterajui bersama antara doktor dan pesakit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan